Visitor Globe

Mega ayeball




Rabu, 10 Disember 2008

Jabatan Cerun Diarah Buat Kajian Terperinci Kejadian Tanah Runtuh, Kata Zin

Jabatan Cerun diarahkan membuat kaji selidik terperinci di kawasan berlakunya tanah runtuh di sekitar Bukit Antarabangsa dengan serta-merta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata jabatan berkenaan akan melakukan kajian teknikal dengan aspek kejuruteraan forensik supaya data tertentu dapat diperolehi seterusnya memberikan gambaran jelas keadaan di kawasan itu.

"Mungkin dengan data yang sedia ada ini, kita boleh memberi gambaran yang jelas di kawasan tersebut. Kalau hujan berlarutan ini akan lebih memudaratkan kawasan tersebut.

Kajian untuk beri gambaran awal akan dapat dilakukan dengan laporan geoteknikal," katanya kepada pemberita di sini hari Selasa.

Beliau juga dimaklumkan kawasan terbabit adalah kawasan muka bumi yang terdedah kepada ancaman tanah runtuh dan jabatan terbabit sedang melakukan pemantauan.

"Oleh itu dalam keadaan sedia ada semua pihak harus mengambil langkah lebih berhati-hati dan menerima nasihat daripada pakar geoteknik.

Saya kira arahan Perdana Menteri supaya semua pembangunan (di kawasan tanah tinggi) diberhentikan adalah tepat dan sesuai dalam iklim dan suasana yang dihadapi masa kini," katanya.

Mengenai kawasan tanah tinggi yang membabitkan lebuh raya, Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sentiasa menggunakan helikopter untuk meneliti kawasan yang terdapat takungan air apabila hujan dan pemantauan dilakukan berterusan.

"Ia bagi memastikan sistem aliran (kawasan takungan air) tidak mengancam kestabilan tanah," katanya.Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga membuat pemantauan sehingga selesai musim tengkujuh, katanya.

Tiada ulasan: