Visitor Globe

Mega ayeball

Selasa, 2 Disember 2008

Sinar tumpat

Sinar Harian
unit TumpatRohana Ismail
0199391170 0199391256

Mayat mangsa banjir pertama ditemui

GUAL IPOH - Mayat mangsa banjir pertama di Kelantan, Nik Zulkifli Nik Kob, 25, yang terjatuh di Sungai Sokor, Gual Ipoh ditemui kira-kira jam 10.50 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mayat Nik Zulkifli ditemui penduduk kampung, anggota Rela dan polis ketika usaha mencarinya dijalankan.

“Mayat mangsa ditemui 10 meter dari tempat dia jatuh,” katanya kepada pemberita di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin, mangsa dipercayai hilang dibawa arus deras ketika dia sedang memukat ikan di Sungai Sokor berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini sejak tiga hari lalu.

Pemangku Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Che Kadir Che Ya berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membawa mayat itu ke Hospital Tanah Merah kerana laluan ke tempat kejadian terputus.

Namun, katanya, pasukan penyelamat tidak dapat memasuki kawasan kejadian dengan jalan darat berikutan jambatan yang menghubungkan Kampung Sokor yang terletak di kawasan pedalaman runtuh.

Sementara itu, ibu mangsa, Saharah Mohamad, 46, yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah berkata, mangsa tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan.

sinarharian

Rantau Panjang Dinaiki Air, Penduduk Mula Berpindah

Lebih 200 penduduk di kawasan Kedai Lama, di sini mula berpindah ke pusat pemindahan Stesen Keretapi Rantau Panjang berikutan air naik secara mendadak melebihi satu meter di kawasan berkenaan.

Beberapa tempat di kawasan tumpuan pelancongan yang bersempadan dengan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand itu dinaiki air dari Sungai Golok yang melimpah melepasi paras bahaya sejak petang semalam.

Seorang penduduk Nasir Mat Min, 47, ketika ditemui berkata beliau mula berpindah ke pusat pemindahan itu pada kira-kira pukul 11 pagi setelah kawasan rumahnya dinaiki air secara mendadak.

"Pukul 7 pagi air belum naik lagi tetapi ketika sibuk mengemas rumah air mula naik menyebabkan kami sekeluarga terus berpindah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nasir berkata penduduk kawasan itu sememangnya terpaksa berpindah setiap tahun memandangkan rumah mereka terletak di tebing Sungai Golok.

Bagi seorang lagi mangsa banjir, Abdullah Mohamad, 52, beliau memilih untuk tinggal di dalam lori buah milik menantunya berikutan pusat pemindahan itu telah penuh.

"Saya tinggal dalam lori ni bersama dua orang anak, seorang menantu dan cucu kerana rumah telah dinaiki air melebihi 0.5 meter kira-kira pukul 9 pagi tadi," katanya.

Sementara itu tinjauan di kawasan zon bebas cukai mendapati kebanyakan premis perniagaan juga ditutup setelah kawasan berkenaan turut dinaiki air.Bagi seorang pemilik kedai pakaian, Fatimah Dollah, 51, beliau mengemas barangan di kedainya sejak semalam sebagai persedian menghadapi banjir.

"Kebanyakan peniaga telah berkemas kerana pengalaman beberapa tahun sebelum ini air banjir sentiasa masuk ke dalam kedai hingga melebihi paras lutut
menyebabkan banyak barangan jualan rosak," katanya.

Tinjauan Bernama di pusat pemindahan itu mendapati keadaan tidak selesa memandangkan ruangan pusat pemindahan yang sempit berbanding jumlah penduduk yang terpaksa berpindah semakin ramai.

Mangsa banjir termasuk warga tua dan kanak-kanak terpaksa bersesak-sesak dan ada di antara mereka yang terpaksa menumpang di kaki lima Stesen Keretapi Rantau Panjang.